Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum. Saya ingin bertanya adakah sah solat jika ketika rukuk tangan saya menggaru kepala meggunakan jari tanpa pergerakan besar. Lalu, saya terus takbiratul ihram tanpa memegang kepala lutut.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, menggaru kepala menggunakan jari tidak membatalkan solat kerana pergerakan jari dikira sedikit dan tidak membatalkan solat. Disunatkan ketika rukuk untuk menggenggam dua lutut dengan tangan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Rukuk tanpa memegang lutut lalu terus bangun iktidal tidak membatalkan solat akan tetapi tidak menepati sunnah Rasulullah SAW. Daripada Muhammad bin Amru bin ‘Ato’ ketika beliau duduk bersama beberapa orang sahabat Nabi SAW, beliau sambil menyebut tentang solat Nabi SAW, maka Abu Humaid as Sa’idi RA berkata:
Maksudnya: Aku adalah orang yang paling ingat tentang solat Rasulullah SAW: Aku melihatnya apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat kedua-dua tangannya sejajar dengan bahunya, dan apabila baginda rukuk, baginda meletakkan kedua tangannya dengan mantap pada kedua lututnya. (Riwayat al-Bukhari)
Oleh yang demikian, solat yang terbaik adalah apabia ia dilaksanakan sepertimana yang diajar oleh Rasulullah SAW dengan penuh khusyuk dan merasakan diri sentiasa diperhati oleh Allah SWT dan menjauhi pergerakan yang tidak perlu dan sia-sia.
Sekian, terima kasih.