Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalam, saya nak bertanya tentang masalah puasa isteri saya. 1. Tahun 2017, isteri saya melahirkan anak sebelum bulan Ramadhan. Disebabkan masih berpantang, isteri saya tidak berpuasa sebab risaukan anak menyusu badan penuh. Adakah isteri saya wajib qada @ fidyah @ qada dan fidyah? 2. Tahun 2018 isteri saya masih menyusu penuh anak kami (tambahan anak ada eczema di mana susu ibu adalah susu terbaik). kalau isteri saya risaukan anak tidak mendapat susu secukupnya, bolehkan isteri saya meninggalkan puasa? 3. Disebabkan tahun puasa 2017 - 2018 isteri saya masih menyusukan anak, jadi isteri saya belum qada puasanya lagi. Tambahan susu badan agak berkurangan jadi untuk mengqada puasa, agak berat utk isteri saya. Harap dapat penjelasan ustaz berkenaan hukum tentang permasalahan isteri saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Isteri wajib qada’ puasanya sebelum tiba bulan puasa pada tahun 2018. Fidyah dikenakan jika isteri masih belum qada’ puasanya pada tahun 2017 atau puasa yang wajib diqada’ itu masih berbaki beberapa hari dan telah memasuki bulan puasa tahun 2018, barulah bayaran fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasanya. 2. Boleh. Namun, adalah dinasihatkan agar berusaha dahulu berpuasa mengikut kemampuannya. Jika tidak berkemampuan atau jika diteruskan puasanya akan membawa kemudharatan dan kebimbangan kepada bayinya seperti kekurangan susu ibu atau boleh menjejaskan kesihatan bayinya, isteri tuan hendaklah berbuka, dan digantikan puasanya pada hari yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT: Maksudnya ; (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (al-Baqarah : 184) Isteri dikenakan bayaran fidyah sebaik habis bulan puasa tahun 2018 dan wajib qada’ puasa yang telah ditinggalkannya sebelum tiba bulan puasa tahun 2019. Jika masih tidak sempat qada’ atau masih belum selesai qada’ puasa, dan telah tiba bulan puasa tahun berikutnya, isteri tuan dikenakan bayaran fidyah kerana lewat menggantikan puasa. 3. Oleh yang demikian, isteri wajib bayar fidyah kerana belum menggantikan puasanya pada tahun 2017 kerana akan tiba puasa pada tahun ini (2018). Adapun puasa yang belum diqada’ tetap wajib diqada’. Tiada pengecualian bagi isteri atau wanita yang menyusukan anak untuk qada’ puasanya, kerana qada’ puasa itu wajib. Perkara ini dialami oleh semua wanita sama ada yang haid, nifas, mengandung dan menyusukan anak pada bulan puasa berdasarkan kepada hukum ke atas mereka. Bagi tidak memberatkan, para wanita disarankan supaya segera qada’ puasanya dan jangan bertangguh. Hendaklah qada’ puasa walaupun sehari demi sehari atau puasa berselang-seli hari sehingga selesai semua puasanya diqada’. Jika masih tidak mampu untuk qada’ puasanya dengan alasan anak masih menyusu, bolehlah qada’ puasa sebaik sahaja anak tersebut telah bercerai susu ibu (selama 2 tahun) atau lebih. Ia dikira masih berhutang jika belum qada’ puasanya walaupun setelah meninggal dunia. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA katanya : فقال : يا رسول الله، إن أمي ماتت وعليها صوم شهر افأقضيه؟ قال : نعم. جاء رجل إلى النبي ﷺ قال : فدين الله أحق أن يقضى Maksudnya : “Seorang lelaki menemui Nabi SAW dan bertanya : Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia dan dia masih mempunyai hutang puasa bulan Ramadhan. Bolehkah aku menunaikannya? Baginda menjawab : Ya. Hutang Allah lebih patut ditunaikan”. (Riwayat al-Bukhari) Bagi mengelakkan kekurangan susu badan, penjagaan pemakanan turut diambilkira, juga disyorkan untuk mendapatkan nasihat atau tips dari Pakar Laktasi (Penyusuan Susu Ibu) atau Klinik Laktasi atau kumpulan sokongan penyusuan susu ibu di hospital-hospital yang berhampiran atau boleh dapatkan maklumat di link berikut : http://hsgbuloh.moh.gov.my/pengumuman/295-senarai-ahli-kumpulan-sokongan-penyusuan-susu-ibu-hospital-sg-buloh والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.