Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum lakukan solat sunat sebelum Jumaat semasa khatib berkhutbah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, menurut mazhab Syafie bagi orang yang baru memasuki masjid dan beliau mendapati pada ketika itu imam sedang berkhutbah, sunat baginya melakukan solat sunat dua rakaat yang ringkas sebelum beliau duduk untuk mendengar khutbah. Rasulullah SAW bersabda: إذا جاء أحدكم يوم الجمعة والإمام يخطب فليركع ركعتين وليتجوز فيهما Maksudnya : “Apabila datang seorang kamu ke masjid pada hari jumaat dan imam sedang membaca khutbah maka hendaklah dia solat sunat dua rakaat dan ringkaskanlah pada dua rakaat itu.” (Riwayat Muslim) Menurut Syeikh al-Ramli, yang dimaksudkan dengan “solat yang ringkas” itu adalah meninggalkan perbuatan memanjangkan solat mengikut uruf. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih