BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya ada dengar ada satu hadis Rasulullah, yang menyatakan satu ketika Rasulullah solat tidak cukup rakaat, lalu ada sahabat menegur sama ada rakaat solat tersebut telah di kurangkan. Rasulullah menjawab tidak dan Rasulullah menunaikan baki rakaat yang tinggal. Persoalan saya, bagaimanakah pelaksanaan solat tersebut dan apakah syarat-syaratnya. Boleh Tak pihak Tuan sertakan kepada saya hadis tersebut. Persoalan kedua, adakah tahiat awal perlu dilakukan sekiranya saya melakukan solat sunat 4 rakaat dengan satu Salam?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA beliau berkata; صَلَّى بنَا رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ إحْدَى صَلَاتَيِ العَشِيِّ - قَالَ ابنُ سِيرِينَ: سَمَّاهَا أبو هُرَيْرَةَ ولَكِنْ نَسِيتُ أنَا - قَالَ: فَصَلَّى بنَا رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ سَلَّمَ، فَقَامَ إلى خَشَبَةٍ مَعْرُوضَةٍ في المَسْجِدِ، فَاتَّكَأَ عَلَيْهَا كَأنَّهُ غَضْبَانُ، ووَضَعَ يَدَهُ اليُمْنَى علَى اليُسْرَى، وشَبَّكَ بيْنَ أصَابِعِهِ، ووَضَعَ خَدَّهُ الأيْمَنَ علَى ظَهْرِ كَفِّهِ اليُسْرَى، وخَرَجَتِ السَّرَعَانُ مِن أبْوَابِ المَسْجِدِ، فَقالوا: قَصُرَتِ الصَّلَاةُ؟ وفي القَوْمِ أبو بَكْرٍ وعُمَرُ، فَهَابَا أنْ يُكَلِّمَاهُ، وفي القَوْمِ رَجُلٌ في يَدَيْهِ طُولٌ، يُقَالُ له: ذُو اليَدَيْنِ، قَالَ: يا رَسولَ اللَّهِ، أنَسِيتَ أمْ قَصُرَتِ الصَّلَاةُ؟ قَالَ: لَمْ أنْسَ ولَمْ تُقْصَرْ، فَقَالَ: أكما يقولُ ذُو اليَدَيْنِ؟ فَقالوا: نَعَمْ، فَتَقَدَّمَ فَصَلَّى ما تَرَكَ، ثُمَّ سَلَّمَ، ثُمَّ كَبَّرَ وسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أوْ أطْوَلَ، ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ وكَبَّرَ، ثُمَّ كَبَّرَ وسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أوْ أطْوَلَ، ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ وكَبَّرَ، فَرُبَّما سَأَلُوهُ: ثُمَّ سَلَّمَ؟ فيَقولُ: نُبِّئْتُ أنَّ عِمْرَانَ بنَ حُصَيْنٍ قَالَ: ثُمَّ سَلَّمَ. Mafhumnya: “Rasulullah SAW telah solat bersama kami dalam salah satu solat al-‘asyi (zohor atau asar)”- Imam Ibnu Sirin menyatakan bahawa “Saidina Abu Hurairah RA telah memberitahu nama solat tersebut namun aku terlupa” - Saidina Abu Hurairah berkata: “Baginda SAW solat dengan kami dua rakaat kemudian memberi salam. Lalu Baginda SAW bangun pergi ke sebatang kayu yang diletakkan melintang di dalam masjid lalu bersandar padanya dalam keadaan seperti menahan marah, lalu Baginda SAW meletakkan tangan kanannya ke atas tangan kiri lantas menyilangkan jari jemari, kemudian Baginda SAW meletakkan pipi kanannya di belakang tapak tangan kiri”. Kemudian para jama’ah yang keluar awal dari masjid berkata “solat telah dikurangkan kepada dua rakaat”. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar RA yang berada di belakang Nabi SAW tidak bertanyakan apa-apa kepada Baginda SAW kerana rasa hormat yang tinggi kepada Baginda SAW. Di kalangan para sahabat ada seorang lelaki yang panjang tangannya digelar Zul Yadain bertanya kepada Baginda SAW. “Adakah kamu terlupa atau (rakaat) solat telah dikurangkan?” Baginda SAW menjawab “aku tidak terlupa dan solat juga tidak dikurangkan”. Baginda SAW betanya kepada para sahabat berkaitan kurangnya bilangan rakaat seperti yang didakwa. “Apakah benar apa yang dikatakan Zul Yadain?” Para sahabat menjawab “ya”. Lantas Nabi SAW melangkah ke hadapan (tempat imam) lalu menyempurkan (rakaat) solat yang ditinggalkan kemudian memberi salam. Kemudian Baginda SAW bertakbir lalu sujud sepertimana sujudnya yang lalu atau lebih panjang (sujud sahwi), kemudian mengangkat kepalanya (bangun dari sujud) sambil bertakbir dan kemudian sujud semula sepertimana sujudnya yang lalu atau lebih panjang, kemudian mengangkat kepalanya sambil bertakbir”. Ibnu Sirin ditanya “adakah Baginda SAW memberi salam selepas takbir terakhir? Beliau menjawab, “aku diberitahu ‘Imran bin Husoin RA berkata “kemudian Baginda SAW memberi salam (selepas takbir terakhir)”.(Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadis di atas menjelaskan bahawa, seseorang yang sedar selepas memberi salam bahawa dia telah tertinggal rakaat solat, wajib bangun segera untuk menyempurnakan solatnya dengan syarat; i. Jarak masa di antara memberi salam dan menyambung semula solat tidak terlalu lama. Di penghujung solat, disunatkan untuk sujud sahwi iaitu dengan dua kali sujud. Akan tetapi, jika selang masa terlalu lama maka solat wajib diulang semula dari awal. ii. Tidak melakukan perkara yang membatalkan wuduk atau solat. Percakapan yang sedikit seperti menjawab teguran orang lain berkaitan bilangan rakaat tidak membatalkan solat. Solat sunat empat rakaat boleh dilaksanakan dalam tiga keadaaan iaitu; iii. Setiap dua rakaat dengan satu tasyahhud dan satu salam. Kaedah ini adalah yang afdhal menurut jumhur ulama’ berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW, Baginda bersabda; صَلَاةُ اللَّيْلِ والنَّهارِ مَثْنَى مَثْنَى Maksudnya : “Solat malam dan siang adalah dua dua (dua rakaat dua rakaat)”. (Riwayat Tirmizi) iv. Dua tasyahhud dan satu salam bagi empat rakaat seperti solat zohor. v. satu tasyahhud satu salam (tiada tasyahhud awwal). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 554

message user image