Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Asaalamualaikum. Soalan saya ialah, bapa saya pernah berhutang dengan ibu saya dan tidak sempat untuk melunaskannya sehingga bapa meninggal dunia. Bolehkah saya sebagai anak melunaskannya bagi pihak bapa?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, dalam Islam hutang adalah perkara yang sangat dititik beratkan khususnya hutang yang tidak diselesaikan oleh si mati semasa hayatnya. Hutang adalah perkara pertama perlu diselesaikan selepas urusan jenazah telah diselesaikan. Berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud; (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya (Surah al-Nisa’: 11) Ini dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Jiwa seorang Mukmin itu tergantung kerana hutangnya hinggalah hutangnya dilangsaikan.”(Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Baihaqi). Kesimpulannya adalah diharuskan, bahkan menjadi kebaikan si waris dan digalakkan kepada anak yang berkemampuan untuk membantu si mati menyelesaikan hutangnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.