BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan dengan nafkah. Sepanjang perkahwinan, suami tidak pernah memberikan nafkah kepada saya. tapi suami yang akan bayar semua bil2 rumah. Dan saya taknak suami menanggung dosa, jadi saya redha kan saja. Dan menganggap bahawa bil2 yang dibayar itu adalah nafkah yang dibayar kerana saya tidak mengeluarkan duit saya untuk bayar bil2 rumah. Tapi barang2 dapur kadang2 saya yang akan keluarkan duit. Adakah itu dikira sebagai tindakan yang betul? Dan apakah hukumnya? Kedua, sejak kebelakangan ini, saya berasa was2 dengan suami. Saya merasakan bahawa dia ada menyembunyikan sesuatu daripada saya. Bila ditanya, suami cakap tak ada. Saya jadi was2 kerana tindakan dia yang tidak pernah lekang dengan telefon bimbit. Masuk ke bilik air pun dia akan bawa sekali. Pernah sekali, dia nak ke bilik air, tapi terlupa bawa telefon bimbit, dia patah balik. Sebelum ni, sikapnya tidak seperti ini. Apakah yang perlu saya lakukan? Saya memang tak percayakan dia. Saya rasa macam dia ada perempuan lain.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, 1. Dalam institusi perkahwinan, seorang suami wajib memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya. Nafkah itu hadir bersama hak dan tanggungjawab masing-masing dalam rumahtangga. Isteri juga wajib patuh dan taat kepada suaminya, selagi mana ketaatan itu bukan kepada perkara yang menyalahi syarak. Justeru, isteri akan hilang kelayakan untuk diberi nafkah jika disabitkan nusyuz/ derhaka kepada suaminya. Selain nafkah batin, kewajipan suami adalah menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makan minum isteri. Namun, nafkah itu disediakan berdasarkan kepada kemampuan seorang suami. Firman Allah SWT: وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. (al-Baqarah : 233) Jika suami hanya menyediakan rumah sahaja tanpa membayarnya, tidak boleh juga. Sebab itu suami puan membayar keperluan dalam rumah termasuklah menanggung bil-bil rumah setiap bulan, barangan dapur (walaupun berkongsi) dan seumpamanya. Ini adalah tindakan yang betul dan wajar. Jika puan turut menyumbang kepada keperluan dalam rumah, itu dikira sebagai sedekah, hukumnya adalah harus dan puan mendapat ganjaran dari Allah SWT kerana membantu suami. Jika puan masih menuntut untuk mendapatkan nafkah (menerima bayaran duit bulanan dari suami), sebaiknya perkara ini hendaklah dibincangkan bersama suami dengan berhemah. 2. Bagi situasi ini, pertamanya puan jangan mudah bersangka buruk dengan suami sendiri, malah berdosa kerana perasaan was-was dan curiga yang datangnya dari syaitan akan lebih memburukkan dan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam rumahtangga. Jika puan ragu sekalipun, hendaklah bertanya kepada suami dengan baik dan berhemah. Isteri kena yakin pada suami, lebihkan doa untuk suami, isteri perlu waspada tetapi tidak bermakna curiga atau bersangka buruk terhadap suami. Sentiasalah berdoa memohon pertolongan dan perlindungan Allah SWT dari sebarang kejahatan agar rumahtangga dalam perlindungan, rahmat, kasih sayang dan berkat. Jika keadaan suami masih berterusan, ada baiknya juga puan dapatkan nasihat doktor sekiranya tindakan suami yang tidak lekang dengan telefon bimbit boleh mengundang kepada masalah kesihatan seperti ketagihan gajet dan seumpamanya. Ia boleh berlaku bukan sahaja pada anak-anak remaja malah golongan dewasa lelaki dan perempuan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 299

message user image