BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Apakah hukum saya memaafkan seorang ni tapi saya tak mahu lagi bercakap dengan dia sebab dia dah calarkan maruah saya depan orang ramai?dan kami dah tak bercakap nak masuk 2 tahun,jadi adakah saya ni dikira kafir?


message user image

Jawapan  

Terima kasih kepada tuan sudi bertanya. Merujuk kepada persoalan tuan, tuan tidaklah dikira sebagai kafir atas perbuatan tuan itu. Cuma sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan Rasul, mari kita renungkan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10: إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu serta bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”Ayat ini menggambarkan kewajipan orang beriman untuk saling sayang menyayangi antara satu sama lain sepertimana kita menyayangi diri kita sendiri dan akan menyebabkan kehidupan kita di dunia senantiasa akan mendapat rahmat. Apabila kita telah memaafkan seseorang lalu tidak menyimpan dendam atau teringat perbuatan jahat yang telah dilakukan kepada diri kita, kehidupan kita akan lebih tenang dan bahagia tanpa rasa malu atau segan untuk bertegur sapa dengan individu yang pernah memalukan kita. Berdasarkan situasi tuan, memang terdapat sebuah hadis yang menceritakan hukuman bagi orang yang bertengkar atau tidak bertegur dalam tempoh yang lama iaitu hadis daripada Abi Khirash al-Sulami bahawa Nabi SAW bersabda: مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِMaksudnya: “Barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya selama setahun sama seperti dia telah menumpahkan darahnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud )Ini mengambarkan bahawa perbuatan tidak menegur seseorang yang kita kenal disebabkan marah atau dendam adalah berdosa. Jadi nasihat kami kepada tuan cubalah untuk memperbaiki hubungan dengan individu tersebut supaya tuan termasuk dalam orang-orang yang mendapat rahmat dari Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga pertalian persaudaraan sesama Islam serta memasukkan kita ke dalam syurgaNya. Ameen. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 158

message user image