Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya selepas suami menceraikan isteri, suami meminta isteri keluar daripada rumah (milik suami isteri)? Adakah perlu isteri mengikut sahaja atau isteri berhak tinggal dirumah berkenaan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, talak atau perceraian adalah salah satu kaedah pemisahan hubungan pernikahan antara suami dan isteri yang disyariatkan oleh Islam. Apabila seorang wanita itu diceraikan, maka dia hendaklah beriddah selama tiga kali suci daripada haid, atau bagi mereka yang tidak mempunyai haid, selama tiga bulan Qamariyyah. Semasa tempoh iddah, terdapat hak dan tanggungjawab yang perlu diperhatikan oleh bekas pasangan. Antara perkara-perkara tersebut ialah kewajiban suami untuk memberikan nafkah dan tempat tinggal dalam tempoh iddah, samaada bekas isteri berkenaan ditalakkan secara raj’i atau ba’in, sama ada dia hamil atau tidak. Firman Allah; أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَآرُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا۟ عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُو۟لَٰتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا۟ عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ Maksudnya: “Tempatkanlah mereka (para istri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. Dan jika mereka (istri-istri yang sudah di talak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin”,Dalam persoalan puan, sekiranya bekas suami meminta isteri keluar dari rumah dalam tempoh iddah maka menjadi kewajipan suami untuk menyediakan rumah yang akan diduduki oleh puan, kerana ianya termasuk dalam nafkah yang wajib disediakan olehnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.