Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: mana lebih baik? 1.Solat dirumah bersama isteri 2. Pergi ke surau@masjid berhampiran yg sudah pasti ada jemaah & boleh solat berjemaah Atau 3. Pergi ke surau sendiri yg blm pasti ada jemaah, lakukan azan & solat. Kadang-kadang terpaksa solat sendirian spai habis.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 1) Berdasarkan hadis, sunat berjemaah bersama isteri di rumah, ianya tetap mendapat ganda ganjaran pahala berjemaah. Walau bagaimanapun solat berjemaah di masjid atau di surau adalah jauh lebih baik. Hal ini kerana terdapat kelebihan tertentu yang tidak dapat jika dilakukan dirumah. Antaranya: i. Dari segi tempat,lebih menepati tujuan solat berjemaah. ii. Dari segi tempat juga, ramai jemaah yang boleh menambahkan kekhusyukan atau kelebihan. iii. Dari segi bersilaturrahim. iv.Dari segi perjalanan. Semakin jauh, semakin mendapat kelebihan. v. Dari segi syiar. 2) Dari segi keperluan pendidikan, ada kalanya sesekali lebih baik bersolat secara berjemaah bersama isteri atau keluarga di rumah. Hal ini dapat memantapkan lagi kepimpinan dirinya dalam keluarga, serta menyerlahkan “aura” rumah tangga. Rumahku Syurgaku (بيتى جنتي) 3) Walaupun tidak pasti ada jemaah atau tidak, tindakan anda ke surau dengan niat untuk berjemaah telah ditulis sebagai kebaikan (pahala). Lebih-lebih lagi jika anda dapat melaungkan azan, yang menyatakan peringatan atau solat, dan syiar dalam Islam. Solat anda walaupun secara bersendirian adalah lebih afdhal. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.