Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz/ ustazah, Saya tengah berhaid dan saya tidak perasan bahawa saya telah terbocor dan seluar saya telah terkena darah tersebut.Saya telah menyentuh kebasahan tersebut dengan tangan saya, dan memikirkan bahawa kebasahan itu adalah kebasahan biasa selepas menggunakan tandas, tetapi bila saya pergi ke tandas untuk menyemak, saya mendapati bahawa kebasahan itu merupakan darah haid yang terbocor.Saya ingin tahu adakah benda-benda yang saya telah menyentuh selepas menyentuh kebocoran darah haid tersebut telah menjadi najis? Seperti cadar katil, telefon bimbit, pintu dan sebagainya. Dan adakah najis tersebut akan berpindah jika saya menyentuh telefon bimbit saya,lepas itu menyentuh benda yang lain? Saya tidak pasti semua benda yang saya telah menyentuh dan agak susah untuk saya untuk mengingati balik untuk membersihkannya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, najis tidak berpindah kepada benda-benda lain yang dipegang apabila dalam keadaan kering. Selama mana benda-benda yang dipegang itu tidak meninggalkan kesan seperti bau, rasa dan warna, ia tidaklah dianggap sebagai mutanajis. Sekiranya dapat dikenalpasti secara jelas terdapat najis pada benda-benda tersebut maka perlulah dibersih dan disucikan terlebih dahulu. Apabila berlaku kesukaran untuk mengesan kewujudan najis pada benda-benda yang telah dipegang maka berpeganglah kepada kaedah hukum yang bermaksud : ‘Asal bagi satu hukum adalah mengekalkan dia sepertimana hukum sebelumnya.’ والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih