Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Boleh tak sembahyang sunat tahiyyatul masjid ketika azan belum selesai?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, perkara sunat dilakukan ketika mendengar azan adalah menjawab azan, berselawat dan mendoakan wasilah kepada Nabi Muhammad SAW. Setelah itu barulah solat tahiyatul masjid didirikan supaya mendapat kedua-dua pahala sunat tersebut. Hadis daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-Ash RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda;إذا سَمِعْتُمُ المُؤَذِّنَ، فَقُولوا مِثْلَ ما يقولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فإنَّه مَن صَلَّى عَلَيَّ صَلاةً صَلَّى اللَّهُ عليه بها عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الوَسِيلَةَ، فإنَّها مَنْزِلَةٌ في الجَنَّةِ، لا تَنْبَغِي إلَّا لِعَبْدٍ مِن عِبادِ اللهِ، وأَرْجُو أنْ أكُونَ أنا هُوَ، فمَن سَأَلَ لي الوَسِيلَةَ حَلَّتْ له الشَّفاعَةُ. Mafhumnya :“Apabila seseorang mendengar muazzin (melaungkan azan), maka berkatalah sepertimana yang dikatakannya (jawab azan), kemudian berselawatlah kepadaku, sesungguhnya sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan beselawat kepadanya sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku. Sesungguhnya ia merupakan satu kedudukan mulia di syurga, hanya diberi kepada seorang hamba Allah, dan aku harap akulah orang itu. Sesiapa yang memohon wasilah kepadaku, dia pasti akan dapat syafaatku”.(Riwayat Muslim) Jika seseorang mendirikan solat tahiyatul masjid ketika azan dilaungkan, solat tersebut sah dan mendapat pahala solat sunat tersebut, akan tetapi ianya tidak selari dengan pedoman Rasulullah SAW dan terlepas pahala sunat menjawab azan dan kelebihannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.