BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Kami pernah bersentuhan tetapi bukan melakukan seks. Dia berjanji untuk berkahwin dengan saya tetapi dia meninggalkan saya dengan tiba² kerana jauh tempat tinggal selepas dapat kerja di negeri lain. Dia tidak meminta maaf sehingga sekarang dan tidak memberi respon chat dan call. Lepas dia pergi, saya dah buat solat sunat taubat dan berjanji takkan ulang lagi kesalahan yang sama. Tapi kejadian tu selalu saya fikirkan dan malu. Perlu ke saya maafkan dia? Sedangkan dia yang mulakan dulu, dan saya melayan tapi kena tinggal. Dia juga adalah abg kepada rakan baik saya. Apa perlu saya buat?


message user image

Jawapan  

Terima kasih kepada puan atas pertanyaan yang diajukan. Sebagai seorang muslim, kita diminta untuk mengikut arahan dan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan rasulNya SAW. Adapaun jika kita tergelincir dalam melakukan maksiat, pintu-pintu taubat masih dibuka dan diberi peluang untuk kita kembali kepadaNya. Berdasarkan firman Allah:وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ (135) أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ (136) Maksudnya: “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 135-136) Dan firman Allah lagi:قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ(53) Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani ”. (Surah Az-Zumar, ayat 53) Pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira besar mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya dan yang penting jangan sekali putus asa dalam memohon keampunan kepada Allah SWT. Saranan yang pihak kami boleh berikan adalah:- 1. Sibukkan diri puan dengan urusan yang bermanfaat. Ini boleh membuatkan puan akan lupa sedikit demi sedikit hal itu. 2. Jangan duduk bersendirian dalam satu-satu masa kerana akan membuatkan puan teringat-ingat dengan hal itu. 3. Berkawan dengan orang soleh dan baik yang sentiasa memberikan teguran dan nasihat kepada kita. Semoga kehidupan puan sentiasa diredhai dan diberkati serta dipermudahkan segala urusan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 190

message user image