Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya. Jika terdapat makanan yang sudah bermalam (semalam punya) tapi masih elok dan boleh dimakan, patutkah ia dibuang kerana orang selalu cakap makanan yang bermalam tak elok dimakan. Yang manakah patut saya ikut.buang atau makan sahaja makanan tersebut sebab membazir tu kan amalan syaitan
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, menutup makanan merupakan sunnah yang digalakkan dalam Islam sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jaabir Bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَحُلُّوهُمْ، فَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا، وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا، وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ Maksudnya: “Apabila memasuki waktu malam, atau ketika senja, maka tahanlah anak-anak kamu (agar tidak keluar rumah) kerana syaitan-syaitan sedang berkeliaran ketika itu. Jika waktu malam telah berlalu beberapa ketika, maka lepaskanlah mereka. Kuncilah pintu-pintu dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak mampu membuka pintu yang tertutup. Tutuplah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah. Tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah walaupun hanya dengan meletakkan sesuatu (sebatang ranting kayu kecil) di atasnya, dan matikanlah lampu-lampu kalian.” (Riwayat al-Bukhari) Kesimpulan daripada hadis di atas ialah menutup makanan yang tidak di makan merupakan sunnah yang digalakkan. Oleh itu, makanan yang terdedah untuk satu tempoh yang lama dan dibimbangi telah tecemar sebaiknya dilupuskan dengan cara yang terbaik. Tetapi jika makanan tersebut diyakini masih elok dan boleh dimakan maka ianya tetap harus dimakan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.