Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Wbt. Saya ada satu kemusykilan untuk ditanyakan pada pihak tuan. Apakah hukum menggunakan shampoo herba yang boleh menghitamkan semula rambut beruban. Apakah hukumnya sama seperti mewarnakan rambut. Sepanjang pengetahuan saya, mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah dilarang dalam islam. Bagaimana pula jika menggunakan shampoo yang boleh menghitamkan rambut beruban. Harap pihak tuan dapat menjawab soalan saya dengan kadar segera.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, Hukum menggunakan shampoo herba yang boleh menghitamkan semula rambut beruban adalah haram kerana ia menyamai seperti mewarnakan rambut. Ini kerana matlamat menggunakan shampoo tersebut adalah untuk menghitamkan uban. Perbuatan ini mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Ini berdasarkan hadis daripada Jabir RA, katanya: Abu Quhafah (bapa kepada Abu Bakar, nama sebenarnya Uthman dan memeluk Islam semasa pembukaan Makkah) yang rambutnya putih bak bunga kemboja (الثغامة), dibawa menemui Rasulullah SAW pada hari penawanan kota Makkah, lalu Baginda bersabda: غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ Maksudnya: “Ubahlah warna uban rambutnya ini dengan sesuatu dan elakkanlah dari warna hitam.” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.