Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin bertanya apa hukum anak sedekah kepada orang miskin tanpa pengetahuan ibubapa. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hukum asal bagi setiap sesuatu perkara adalah harus sehingga terdapat dalil pengharaman maka ianya diharamkan. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqh iaitu: الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)”.Sehubungan itu, hukum bersedekah adalah harus lebih-lebih lagi dalam membantu golongan yang lebih memerlukan. Walaubagaimanapun, jika duit yang disedekahkan itu datang daripada pemberian ibu bapa sebaik-baiknya mohon pandangan dan dimaklumkan terlebih dahulu kepada ibubapa. Ini kerana tujuan asal sesuatu pemberian adalah bagi memenuhi keperluan si anak dalam menguruskan keperluan harian. Sekiranya duit yang disedekahkan itu daripada hasil titik peluh sendiri, terserah untuk disedekahkan kepada mana-mana pihak sekalipun dan sebaiknya ditetapkan sebahagian gaji untuk disedekahkan. Dalam Islam keutamaan bersedekah adalah kepada ahli keluarga terlebih dahulu barulah kepada orang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW: دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِى رَقَبَةٍ وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِى أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ Maksudnya: “Ada dinar yang kamu infakkan di jalan Allah, dinar yang kamu infakkan untuk memerdekakan budak dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin. Namun dinar yang kamu keluarkan untuk keluargamu (anak-isteri) lebih besar pahalanya. .” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.