Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum. Saya nak tanya satu soalan bolehkan ustaz. Macam ni, saya mandi biasa dahulu seperti shampoo rambut, sabun badan. Gosok gigi dan cuci muka SEBELUM mandi WAJIB. Kemudian, setelah selesai mandi biasa, saya terus memulakan mandi wajib seperti biasa. Soalan saya , selepas selesai mandi dan pakai baju, saya dapati di celah kuku jari tangan saya terdapat seperti tompokan sisa sabun dimana bila saya kikis, akan keluar benda warna putih, semasa mandi wajib tadi tak nampak pula, bila badan dah kering baru nampak. Adakah sisa sabun tersebut boleh menghalang air daripada sampai ke kuku? Adakah Mandi Wajib saya SAH? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, sebaiknya terus berniat untuk mandi wajib. Semasa mandi itulah boleh disekalikan dengan membersihkan anggota badan, shampo rambut, sabun, gosok gigi dan cuci muka. Jika selepas beberapa jam mandi wajib, saudara menyedari ada perkara-perkara yang menghalang air untuk sampai ke seluruh badan, maka hukumnya tidak sah. Tetapi, saudara tidak perlu mengulangi mandi wajib tersebut, hanya perlu bersihkan celah kuku tangan kemudian lalukan air ke atas jari yang dibersihkan tadi, maka mandi wajib saudari sempurna dan sah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.