Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan mufti, soalan saya adalah:- Saya membela anak kucing usia dua bulan yg dibuang orang. Memandangkan ia masih kecil, saya membela di dalam rumah kerana di luar rumah terdapat banyak kucing liar. Walaupun di dalam rumah, saya melatihnya berak dan kecing di dalam tandas. Alhamdulillah memang kucing ini tidak kencing dan berak merata di dalam rumah. Cuma, tabiat kucing, selepas selesai membuang najis atau kencingnya, dia akan mengkais tanah untuk kambus najisnya itu. Walaupun kucing saya ini buang air besar atau kencing di dalam bilik air, saya melihat dia tetap kais lantai di dalam bilik air. Menjadi persoalan saya dan timbul rasa was-was di dalam diri, jika dia buang air besar tidak mengapa, tetapi apabila dia kencing, dia akan kais lantai bilik air itu dengan kakinya dan kakinya akan terpijak air kencingnya sendiri. Jika saya melihatnya, saya akan basuh kakinya dahulu sebelum dia keluar daripada bilik air, tetapi jika waktu yang saya tidak ada di rumah atau ketika waktu malam sedang tidur, pasti dia akan kencing di bilik air dan kakinya akan terpijak air kencingnya dan selepas itu keluar. Jadi, bagaimanakah hukum air kencingnya itu? Saya bimbang dengan solat saya walaupun saya basuh kaki sebelum saya pijak sejadah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, hukum air kencing kucing itu tetap najis. Oleh itu, mana-mana tempat yang dapat dipastikan terdapatnya najis kucing tersebut di dalam rumah, maka ia perlu dibersihkan dan dibasuh dengan mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis tersebut sehingga hilang bau, rasa dan warnanya dan syarat sah solat adalah suci daripada najis pada pakaian, anggota badan dan tempat sujud. والله أعلم بالصوابSekian, terima kasih.