Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT, Saya ingin bertanya, adakah berdosa kita melangkah makanan pemberian jiran kerana takut dan was-was makanan yang dihantar telah disihir? Tujuan melangkah makanan adalah untuk membatalkan sihir. Apa perlu dilakukan sekiranya kita berasa ragu-ragu untuk makan makanan / barang pemberian dari jiran? Bagaimana cara untuk kita menasihati seseorang supaya tidak terus berprasangka buruk terharap orang lain kerana takut disihir. Terima kasih pihak mufti, semoga tuan dapat menjawab persoalan
Jawapan
Merujuk persoalan, makanan merupakan rezeki pemberian Allah yang perlu disyukuri. Berhubung dengan melangkah makanan pemberian jiran kerana takutkan disihir, boleh menimbulkan pelbagai perkara; i. Perbuatan melangkah makanan adalah bercanggah dengan akhlak Islamiyah. ii. Buruk sangka dengan jiran sangat ditegah, Islam menyuruh berbaik dengan jiran sehingga hampir-hampir boleh mewarisi harta. Sesungguhnya apa yang kita dapat daripada jiran mempunyai hubungan rapat dengan apa yang kita beri (sangka). Bagaimana komunikasi kita dengan jiran, pertuturannya juga tingkah laku kita. Ibarat pepatah “apa yang kita tanam, itulah yang kita tuai”. Saudara, ragu-ragu adalah sifat negatif yang perlu dijauhi kerana ia juga merupakan sebahagian daripada hasutan syaitan. Dalam masa yang sama ia hanya akan mengeruhkan lagi hubungan kejiranan kita. Oleh itu, berusahalah untuk mendekatkan diri kepada Allah, untuk membina keyakinan dan mengelakkan perasaan ragu-ragu yang jika tidak diatasi ia akan bertambah dan bersarang hingga menjadi penyakit yang susah untuk dihilangkan. Dalam masa yang sama berjumpalah dengan kaunselor muslim bertauliah untuk mendapatkan nasihatnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.