Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ada ustaz saya cakap,kalau imam baca laju dan kita sebagai makmum tak sempat kejar bacaan imam,contohnya Alfatihah,kita kene ikut imam tu. Tapi ada seorang ustaz ni pulak cakap,Kene habiskan bacaan biar imam dah rukuk pun takpe.Jadi macam mana sebenarnya kalau kita tak sempat kejar bacaan imam.Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, bagi keadaan makmum yang tidak mempunyai masa untuk menghabiskan surah al-fatihah sebelum imam rukuk, maka wajib bagi makmum untuk mengikuti imam. Contoh situasinya adalah; i. Imam membaca surah al-fatihah terlalu laju dan rukuk setelahnya sedangkan makmum masih belum selesai membaca surah al-fatihah. ii. Makmum hadir dan imam hampir rukuk atau sedang rukuk. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa suatu ketika Rasulullah SAW menunggang kuda lalu terjatuh dan tercedera pada bahagian kanan tubuhnya. Oleh sebab itu Baginda SAW solat dalam keadaan duduk, maka kami pun solat dibelakangnya dalam keadaan duduk. Apabila selesai solat, Baginda SAW bersabda:إنَّما الإمامُ ليُؤتمَّ به فإذا كبَّر فكبِّروا وإذا ركع فاركعوا …Mafhumnya: “Sesungguhnya dijadikan imam itu sebagai pelengkap kepada solat makmum. Jika imam takbir maka takbirlah,jika imam rukuk maka rukuklah….”(Riwayat Tirmizi) Adapun jika makmum memiliki masa yang cukup untuk menghabiskan bacaan surah al-fatihah tetapi tidak sempat menghabiskannya dengan sebab sibuk dengan bacaan sunat yang lain atau bacaan makmum terlalu perlahan, maka makmum wajib menghabiskan bacaan surah al-fatihah selagi imam belum bangun dari rukuk yang kedua. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.