Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang kafarah berjimak di bulan puasa. Berdasarkan laman web JAIS kafarah mengikut turutan iaitu 1. Memerdekakan hamba 2.Berpuasa 2 bulan berturut 3.Memberi 60 orang miskin makan. Soalan pertama. Apakah yang menyebabkan seseorang dikategorikan tidak mampu untuk berpuasa dua bulan berturut-turut? Soalan kedua. Sekiranya seseorang perlu bermusafir memandu jauh semasa berpuasa dua bulan berturut-turut boleh dikategorikan tidak mampu untuk berpuasa dua bulan berturut turut dan membayar kafarah dengan memberi 60 orang miskin makan?
Jawapan
Kaffarah bagi orang yang melakukan persetubuhan pada siang hari bulan Ramadhan adalah mengikut turutan: - Memerdekakan seorang hamba, sekiranya tidak mampu maka, -Berpuasa selama dua bulan berturut-turut, sekiranya tidak mampu maka, -Memberi makan 60 orang miskin, setiap orang secupak makanan asasi negeri berkenaan. Tidak mampu ditakrifkan sebagai tiada kemampuan dari segi tubuh badan dan kesihatan untuk berpuasa. Umpamanya orang tua yang tiada lagi keupayaan untuk berpuasa, ataupun orang yang berpenyakit yang memerlukan rawatan dan ubat-ubatan pada tempoh yang ditetapkan.Bermusafir tidak dikategorikan sebagai tidak mampu untuk berpuasa. Hanyasanya bagi orang yang bermusafir itu diberi keringanan untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadhan. Namun, jika dalam tempoh menyempurnakan kaffarahnya seseorang yang bermusafir itu tidak berpuasa pada hari tersebut, maka beliau perlu mengulangi semula kaffarahnya bermula hari pertama. Kaffarah ini adalah denda atas kesilapan yang telah dilakukan. Beratnya kaffarah ini menunjukkan beratnya kesalahan yang dilakukan mengingkari perintah agama. Jelas puasa itu diwajibkan untuk sabar mentaati suruhan Allah SWT dan sabar menjauhi larangan Allah SWT dalam berpuasa dengan tujuan mencapai takwa dan redha Allah SWT. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.