Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam. Apakah hukum jika suami sering mengugut isteri jika berlaku salah faham? Si suami akan sering mengugut isteri akan masuk neraka kerana tidak meminta maaf sedangkan isteri tidak bersalah. Si suami seorang yang panas baran dan suka mental torture isteri. Saya sebagai isteri rasa tertekan dengan banyak perkara. Kadang-kadang nak bertanya soalan kepada suami pun jadi tidak berani kerana khuatir dia akan marah. Saya banyak memendam rasa. Tapi kadang kala saya tidak dapat menahan diri untuk membalas semula kata-katanya. Saya sangat stress dengan suami saya. Dia suka menggunakan agama untuk mengugut saya. Kadang kala terdetik juga di hati saya apakah islam itu kejam? Jika isteri buat salah, akan terus masuk neraka. Jika isteri membalas kata suami, terus masuk neraka. Begitukah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, perkahwinan adalah perkongsian hidup dalam sebuah rumah tangga. Suami dan isteri masing-masing ada peranan dan tanggungjawab dalam memenuhi perintah agama bagi mencapai “mawaddah wa rahmah” kasih sayang dan rahmat Allah. Mengabaikan tanggungjawab seperti isteri tidak patuh kepada suami dalam aspek kehidupan yang boleh menafikan hak-haknya untuk mendapatkan nafkah. Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya boleh jatuh nusyuz (ingkar). Undang-undang memberi hak kepada isteri untuk membuat aduan, seperti yang diucapkan dalam lafaz taklik semasa akad nikah. Justeru kesalahan tidak hanya terletak kepada isteri kerana tidak taat kepada suami, khasnya dalam perkara yang bercanggah dengan tuntutan agama. Kesalahan suami sebagai ketua keluarga lebih berat lagi, kerana tanggungjawabnya bukan sahaja memberi nafkah, tetapi mendidik isteri ke jalan Allah kerana ia telah mengambil alih tugas walinya (bapa) semasa akad nikah dijalankan. Suami akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah, jika isteri melakukan kesalahan, bukan penentu kedudukannya sama ada disyurga atau neraka. Saudari dinasihatkan membuat aduan ke Jabatan Agama Islam terdekat, jika keadaan tidak tertanggung lagi, bagi membaiki keadaan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.