Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Suami saya telah bernkah lagi dengan seorang gadis 2 tahun lepas tanpa pengetahuan saya. Suami pernah memberitahu sejarah hitam gadis itu. Saya telah kongsi masalah dengan seorang kawan baik .Oleh kerana semua kenalan kenal suami seorang yang baik dan bertanggungjawab , demi menjaga maruah suami , saya memberitahu sejarah hitam gadis itu dan mengapa suami mengahwininyai. Adakah ia dianggap ghibah dalam islam? Kerana mendedahkan rahsia seseorang? Kalau Ya apa yang harus saya lakukan? Untuk mendapat keampunan dan keredhaan Allah.
Jawapan
Terima kasih kepada puan yang bertanya. Semoga kehidupan puan serta keluarga diberkati oleh allah SWT. Dalam kehidupan berumahtangga, kita tidak akan terlepas dari masalah yang melibatkan suami dan isteri. Walau bagaimanapun, sebagai pasangan yang baik dalam menyelesaikan masalah, hendaklah diselesaikan dengan pihak-pihak yang terlibat sahaja seperti mahkamah atau agensi agama(Undang-undang keluarga Islam) tanpa diceritakan kepada pihak-pihak yang tidak terlibat. Larangan menceritakan aib pasangan, termasuklah larangan membuka aib suami yang mana telah dijelaskan oleh Allah SWT sepertimana dalam surah Al-baqarah ayat 187: ....هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ Maksudnya: “…Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka”. Ayat di atas menunjukkan bahawa pasangan adalah pakaian yang mana mereka hendaklah saling menjaga dan menutupi hal-hal peribadi atau hal-hal yang dianggap itu aib pasangan dan tidak perlu diketahui oleh orang lain. Suami adalah pakaian bagi isteri dan isteri adalah pakaian bagi suami. Jika seorang suami atau isteri membuka aib pasangannya seumpama menelanjangkan diri pasangan masing-masing. Sebaiknya jika kita telah menceritakan hal-hal yang mengaibkan mengenai pasangan kita, mohonlah kemaafan dengan pasangan kita serta beristigfar kepada Allah dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Semoga kehidupan puan dalam keadaan yang baik dan diberkati. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.