Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum...Pada hari jumaat orang perempuan boleh terus solat zohor bila dah masuk waktu atau pun perlu tunggu orang lelaki habis solat jumaat baru boleh solat?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bagi golongan yang tidak diwajibkan solat jumaat, wajib ke atas mereka untuk melaksanakan solat fardhu zohor. Golongan yang tidak diwajibkan solat jumaat adalah; i. Orang sakit ii. Wanita iii. Kanak-kanak iv. Musafir Waktu solat zohor bagi golongan ini bermula apabila azan zohor dikumandangkan dan berakhir dengan azan asar. Oleh yang demikian, harus bagi mereka untuk terus solat zohor dan tidak perlu menunggu selesai solat jumaat. Akan tetapi, mereka boleh melewatkan solat zohor dengan sebab ingin mendengar khutbah dari masjid berdekatan atau melalui saluran media lain yang ada. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.