Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalammualaikum, saya ingin bertanya, apa hukum suami meninggalkan solat jumaat tanpa sengaja kerana beliau pulang dari kerja jam 9 pagi. jam 8 malam sambung kerja kembali untuk shift malam (8 pagi-8 malam). suami ada tekanan darah tinggi dan perlu rehat/tidur yang cukup. waktu kerja suami adalah 3 hari kerja, 3 hari cuti. cth: kadang-kadang kene kerja khamis, jumaat, sabtu.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, solat jumaat diwajibkan kepada seorang muslim yang memenuhi syarat wajib solat jumaat. Manakala, rukhsah (keringanan) hanya diberikan kepada mereka yang menghadapi kesukaran dan halangan bagi memenuhi kewajipan tersebut sepertimana yang ditetapkan oleh syarak sahaja. Disebut di dalam kitab al-Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifat al-Ma’ani Alfaz al-Minhaj karangan Khatib al-Syarbini di dalam bab solat Jumaat;وَلَا جُمْعَةَ عَلَى مَعْذُوْرٍ بِمُرَخِّصٍ فِي تَرْكِ الجَمَاعَةِ Maksudnya : “Tidak diwajibkan solat jumaat ke atas orang yang diuzurkan (diberi keringanan) untuk tidak solat berjama’ah”. Justeru, wajib ke atas mereka untuk melaksanakan solat fardhu zohor. Mereka yang diberikan rukhsah ini adalah orang sakit, wanita, kanak-kanak dan orang yang musafir. Solat zohor boleh terus dilaksanakan setelah azan dikumandangkan dan tidak perlu menunggu selesai solat Jumaat. Walaubagaimanapun, dalam situasi suami yang tertidur dan menyebabkan terlepas untuk menunaikan solat Jumaat adalah dimaafkan dan hendaklah diganti dengan solat Zuhur. Akan tetapi, sebagai seorang isteri adalah menjadi kewajipan pihak puan untuk mengingatkan suami untuk menyusun masa dengan sebaiknya supaya dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut. Penyakit darah tinggi bukanlah alasan untuk meninggalkan solat Jumaat, melainkan ia memberi mudharat kepada pesakit dan telah dinasihatkan oleh doktor pakar supaya berehat dengan secukupnya, maka dalam hal tersebut dimaafkan untuk meninggalkan solat Jumaat, dengan syarat hendaklah sedaya upaya untuk tetap melaksanakan kewajipan tersebut. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Jumu’ah ayat 9: يآاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا اِذَا نُوْدِيَ لِلصَّلٰوةِ مِنْ يَّوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا اِلٰى ذِكْرِ اللّٰهِ وَذَرُوا الْبَيْعَۗ ذٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila telah diseru untuk melaksanakan salat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”. Antara lain, Rasulullah SAW juga mengancam mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu al-Ja`d bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ Maksudnya: "Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya." (Riwayat al-Tirmidzi) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.