BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wb. 1. Seorang telah berhutang peribadi 10 ribu ,perkiraan zakat juga 10 ribu ... bayaran mana patut di utamakan , zakat atau hutang ? 2. Seorang bersetubuh dengan isteri nya ketika isteri nya masih dalam haid. Apakah kifarah atau kesalahan tersebut ? Adakah dia kena puasa atau bagi makan orang fakir ? 3. Seorang ingin bayar zakat tanpa melalui amil dan dia mengagihkan zakat nya pada jiran jiran yang fakir miskin. Dia tidak agihkan pada musafir , fisabillilah atau asnaf lain. Adakah zakat dia sah ?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan ; 1. Apabila berhimpun dua kewajipan antara membayar zakat dan hutang, hendaklah didahulukan dengan membayar hutang terlebih dahulu jika kewangannya adalah terhad. Sekiranya hartanya mencukupi untuk menyelesaikan kedua-duanya, hendaklah disempurnakan keduanya sekaligus kerana ke dua-duanya adalah tuntutan wajib yang perlu ditunaikan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya”.(Riwayat al-Tirmizi) 2. Bersetubuh dengan isteri ketika mana isteri sedang dalam keadaan haid adalah haram dan berdosa hukumnya. Sesiapa yang melakukannya tidak dikenakan sebarang denda atau kafarah tetapi perlulah bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT. 3. Seseorang yang membayar zakat dan mengagihkan zakat secara sendiri tanpa melalui amil, mengikut hukum syarak adalah sah zakatnya sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak. Bagaimanapun perbuatan tersebut adalah dianggap melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah . Undang-undang telah menetapkan bahawa zakat wajib dikeluarkan dan dibayar kepada amil, pihak pemerintah atau institusi berautoriti yang dilantik. Islam meminta umatnya patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 135

message user image