Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Hukum fekah asal bagi kos mengurus jenazah diambil dari harta si mati. Bolehkah duit tabung masjid diguna untuk membayar sebahagian kos ikut ketetapan pegawai/ajk masjid. Cthnya kos gali kubur
Jawapan
Merujuk persoalan tuan, Imam an-Nawawi dalam kitabnya Minhaj at-Tolibin ada menyebut: يبدأ من تركة الميت بمؤنة تجهيزه ثم تقضى ديونه ثم وصاياه من ثلث الباقي ثم يقسم الباقي بين الورثة Maksudnya: “Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. Jika si mati merupakan seorang fakir dan tidak memiliki apa-apa untuk menguruskan jenazahnya, maka tanggungjawab menguruskan jenazahnya dipikul oleh orang yang menyaranya ketika hidup sama seperti kes anak dan isteri. Jika tiada juga, ia menjadi tanggungjawab jiran-jiran atau anak-anak qaryah yang lain untuk sama-sama membantu menghulurkan bantuan bagi pengurusan jenazah tersebut. Sekiranya tiada, pihak masjid atau surau boleh menggunakan sebahagian daripada kutipan tabung masjid untuk belanja pengurusannya. Walaubagaimanapun, jika sekiranya mampu sekalipun, tiada halangan bagi pihak masjid untuk membiayai kos pengurusan jenazah secara keseluruhannya atau sebahagiannya dengan syarat ia adalah keputusan bersama ahli jawatankuasa masjid. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.