Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum Tuan Mufti, Saya ingin minta nasihat dari Tuan mengenai hukum dan kaedah bertaubat bagi kesalahan yang pernah dilakukan di ruangan chat room di media sosial. Lebih 15 tahun lalu, saya kerap masuk ke beberapa chat room untuk berkenalan dengan orang-orang di luar negara dan ada juga untuk mendengar ilmu agama Islam. Oleh kerana ketika itu masih muda dan tidak berfikiran panjang. Saya pernah berbohong secara terbuka dalam ruangan chat itu.Cara saya melakukan dengan menaip di ruangan chat umum atau secara one-to-one. Kemungkinan ada orang dalam group itu yang mempercayai kata-kata saya dan ada juga yang tidak percaya kerana mereka mungkin berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali dalam media sosial.Bagi yang percaya, ada yang menerima saya sebagai rakan maya (Add as Friend) di chat room itu. Bagaimanakah saya hendak memohon maaf kepada mereka ini kerana saya sudah lama tidak masuk ke chat room itu dan mungkin mereka juga tidak lagi menggunakan ID pengguna yang sama atau atas sebab-sebab yang lain contohnya telah meninggal dunia dan lain-lain. Saya merasa menyesal akan perbuatan saya itu dan mengharapkan nasihat dari pihak Tuan
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, syukur kesilapan yang telah dilakukan 15 tahun yang lalu kini disedari dan disesali. Oleh kerana anda pun tidak pasti, maka sebaiknya bertaubat dengan sebenar-benarnya. Serahkan sahaja urusan kesilapan yang telah lama berlalu itu kepada Allah S.W.T. Yakinlah dengan pengampunan dan rahmat Allah S.W.T. Ini kerana, jika memilih untuk minta maaf dengan mengamalkan medium yang sama, berkemungkinan akan mengundang masalah yang lebih besar lagi, selain tidak mencapai tujuannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih