Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz, saya umur 26thn, sejak akhir-akhir ini saya merasakan susah dalam membaca tahiyat akhir dan perlu berulang2 pada awal ayat. Dan pada (13/12/2020) waktu Asar, saya terdetik untuk menyemak bacaan tahiyat akhir yang betul di Internet. Saya dapati sejak akhir-akhir ini saya telah membaca dengan "attakhiyatul" dengan menggunakan huruf "kha" pada awal bacaan tahiyat akhir. Sejak itu saya telah qada' solat saya pada hari berkenaan sahaja dengan bacaan yang betul. Apakah yang saya perlu lakukan pada solat2 saya yang lain sebelum ini? Saya tidak pasti bilakah saya mula melakukan kesalahan ini. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, tahiyat akhir atau tasyahhud akhir merupakan rukun solat yang mesti dilakukan. Sekiranya ia tidak disempurnakan maka solat tidak sah. Akan tetapi, segala kesalahan yang dilakukan tanpa ilmu samaada di dalam atau di luar solat adalah dimaafkan. Firman Allah SWT; وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَاۤ اَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمۗ وَكَانَ اللهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٥﴾ Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Ahzab Ayat 5) Kesalahan menukar huruf ha kepada huruf kha yang tuan lakukan di dalam tahiyat akhir adalah dimaafkan sekiranya ia berlaku tanpa ilmu. Akan tetapi, jika kesalahan tersebut dilakukan dalam keadaan mengetahui perkara tersebut salah, maka dikira berdosa dan solat wajib diqada’. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.