Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Pertanyaan saya adalah berkenaan dengan subliminals. Apakah hukum mendengar subliminal bagi orang Islam? Adakah haram bagi orang Islam mendengar subliminal tersebut bagi tujuan tertentu contohnya untuk meningkatkan keyakinan diri atau untuk kecantikan? Terima kasih, mohon penjelasan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari , subliminal adalah sesuatu perkara yang di bawah sedar dan di luar kawalan pemikiran kita. Sesiapa yang mengalami gangguan subliminal sebaiknya rujuk kepada pakar psikologi untuk mendapatkan bantuan dan rawatan bagi membantu mengatasi apa yang dihadapinya. Adalah menjadi kebimbangan sekiranya suara-suara yang didengar melalui gangguan subliminal tersebut boleh membawa kepada tindakan tanpa sedar yang boleh membahayakan dirinya. Menerima atau mendengar subliminal boleh memberi memberi kesan kebaikan dan juga keburukan kepada penerima atau pendengarnya. Sekiranya suara-suara subliminal itu adalah dalam bentuk kebaikan maka harus dan dibolehkan seperti mendengar lirik lagu dalam bentuk ketuhanan yang memberi kesan dalam pemikiran tentang mentauhidkan Allah. Jiwa yang mendengarnya akan mendapat aura positif dan rasa kehambaan dalam dirinya. Bagaimanapun ia menjadi sebaliknya apabila diperdengarkan dengan lirik yang berunsur negatif boleh mempengaruhi emosi untuk perkara-perkara yang negatif. Begitu juga penerimaan subminal dalam suatu perkara yang boleh meningkatkan keyakinan diri untuk lebih maju dalam kerjaya contohnya, ia adalah dibenarkan. Justeru, adalah penting untuk membezakan yang baik dan buruk, positif atau negatif suatu pemikiran yang sampai di lintasan diri sebelum mengambil sebarang tindakan. Perbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.