Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz...saya ingin mohon penjelasan berkenaan nazar yg mana ibu sy pernah bernazar untuk menghantar sy menunaikan umrah bersama suami sbg hadiah perkhawinan 20 thn lps yg mana sehingga kini masih lg tidak menunaikan nazar tersebut dgn alasan dia tiada duit sdgkan ibu sudah 5 kali pergi umrah dlm tempoh 20 thn itu....dia pernah bg sy rm1000 sebagai bayaran untuk melunaskan nazar nya itu...sy mohon penjelasan Ustaz bolehkah atau betulkah tindakan ibu sy. Terima kasih atas pencerahan dari pihak Ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, setiap nazar yang dilafazkan hukumnya adalah wajib untuk dilaksanakan, lebih-lebih lagi bernazar melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hajj ayat 29: ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu”. Walau bagaimanapun, sekiranya tidak berkemampuan untuk menunaikan nazar selepas dia berusaha melakukannya, maka hendaklah membayar kaffarah nazar. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Maidah ayat 89:لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur”. Oleh itu jika ibu puan tidak berkemampuan untuk menunaikan nazar hendaklah melaksanakan kaffarah iaitu memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang miskin atau memerdekakan hamba (sekiranya ada). Pembayaran kaffarah boleh dibayar dan diwakilkan kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri. Jika ketiga-tiga perkara di atas tidak mampu untuk ditunaikan, maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.