Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: SOALAN PERTAMA:- Kedua orang tua saya sudah meninggal dunai. Bolehkah kalau saya hendak qada puasa untuk ibubapa kita yang tertinggal. Bagaimana caranya dan bacaan kalau kita hendak qada puasa untuk mereka serentak. SOALAN KEDUA:- Kalau kita bermimpi berjumpa dengan orang meninggal. terutama sekali kedua ibubapa kita. Apa yang perlu kita buat. SOALAN KETIGA:-Kalau kita tidak hafal bacaan qunut bolehkah tinggalkan sahaja atau boleh membaca surah lain. SOALAN KEEMPAT:-Bagaimana cara kta nak qada solat kita yang dulu yang tertinggai
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, 1- Boleh bagi saudari hendak mengqada’ puasa bagi ibu bapa saudari yang telah meninggal dunia. Berdasarkan hadis; من مات وعليه صيام صام عنه وليه Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggal dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka disempurnakan oleh walinya”.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Namun, bukanlah satu kewajipan ke atas saudari untuk menggantikan puasa si mati. Sekiranya saudari tidak melakukan qada puasa tersebut,perlulah diambil daripada harta pusaka arwah ibu bapa saudari dan dibayar fidyah mengikut hari yang ditinggalkan oleh si mati. Berdasarkan hadis; فدين الله أحق أن يقضى Maksudnya: “Adapun hutang Allah itu lebih berhak dilunaskan”.(Riwayat Muslim) Saudari boleh sahaja berpuasa seperti biasa dengan niat “Sahaja aku berniat mengerjakan puasa qada Ramadan esok hari daripada (nyatakan nama) kerana Allah Taala”. Walau bagaimana pun, puasa qada perlulah diasingkan niatnya kepada seorang sahaja kerana ianya puasa yang wajib (qada). 2- Mimpi boleh menjadi penghibur kepada kita ketika tidur dan boleh jadi juga sebagai alamat atau isyarat tertentu. Jika dianugerahkan mimpi bertemu ibu bapa, itulah salah satu nikmat sebenarnya. Yang lebih utama, saudari perlulah perbanyakkan doa untuk kedua ibu-bapa. 3- Dalam mazhab Syafie, doa qunut tergolong sebagai sunat ab’adh. Iaitu suatu sunnah yang apabila tidak dilakukan maka tidaklah sampai membatalkan solat, tetapi dianjurkan untuk menggantinya dengan sujud sahwi. Adapun, jika saudari belum menghafal doa qunut, harus bagi saudari membaca doa lain yang diingat. Walau bagaimana pun, saudari perlulah bersungguh menghafalnya supaya dapat dibaca dan mencapai akan fadhilatnya. 4- Saudari boleh mulakan dahulu qada solat tersebut, Insya’Allah nanti akan ada satu perasaan yang Allah hadirkan sudah cukup, maka berhentilah setakat itu dan lebihan itu dianggap sebagai sedekah. Ulama mazhab Syafie menetapkan orang yang mempunyai terlalu banyak solat yang ditinggalkan sehingga tidak tahu jumlahnya, hendaklah mengqada’ solat-solat tersebut sehingga diyakini semuanya telah selesai diganti. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.