Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apa hukum menjual semula (resell) barang barang branded yang menyokong gerakan lgbt?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, resell adalah perniagaan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia amnya. Namun perlu juga diperhalusi kaedah dan keuntungan yang diperolehi adalah bertepatan dengan syara’. Resell adalah dibenarkan sekiranya barang tersebut bukan dibeli secara langsung kepada jenama tersebut yang dikatakan menyokong gerakan LGBT tetapi adalah barang jual semula yang diperolehi daripada pihak ketiga. Namun jika sebaliknya, adalah lebih baik meninggalkannya kerana bersubahat dalam perkara maksiat juga berdosa. ……”janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (Surah al-Maidah ayat 2) Namun perkara yang lebih besar adalah kebenaran bagi penggunaan jenama berkenaan yang semestinya memiliki hak cipta penjenamaan dan ini tertakluk kepada Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNKK. Sebagaimana Hakim bin Hizam pernah bertanya pada Rasulullah SAW; “Wahai Rasulullah, ada seseorang yang mendatangiku lalu ia meminta agar aku menjual kepadanya barang yang belum aku miliki, dengan terlebih dahulu aku membelinya untuk mereka dari pasar?” Rasulullah SAW menjawab, “Janganlah engkau menjual sesuatu yang tidak ada padamu.” (Riwayat Abu Daud) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.