Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ..Saya bapa kepada anak istimewa yang sudah mencecah 16 tahun dan masih belum dikhatankan. Anak saya ada syndrome hyportonia. Anak masih terlantar. Tidak boleh menguruskan diri sendiri. Soalan saya, masih wajib kah saya menyunatkan anak saya ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, berkhatan merupakan sunnah yang dituntut di dalam Islam. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, daripada Nabi S.A.W, baginda bersabda; الفِطْرَةُ خَمْسٌ: الخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ، وَنتْفُ الإبْطِ، وَتقْلِيمُ الأظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ. Maksudnya: “Fitrah ada lima perkara: khitan, cukur bulu ari-ari, cabut bulu ketiak, potong kuku dan memendekkan misai”. (Riwayat al-Bukhari) Diwajibkan ke atas tuan untuk meminta pandangan atau nasihat dari pakar perubatan berkaitan hasrat untuk mengkhitankan anak tuan. Jika ada kesan sampingan yang memudharatkannya maka tidak perlu dikhitankan. Ahli keluarga yang bertanggungjawab menjaga kebersihannya dengan baik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.