BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Bolehkah saya berpuasa sunat hari khamis jika saya tidak berpuasa sunat pada hari isnin sebelumnya?Bolehkah berpuasa sunat pada hari jumaat atau hari-hari selain isnin dan khamis ?Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan, 1. Saudari boleh berpuasa pada hari Khamis meskipun tidak berpuasa pada hari Isnin, ini kerana puasa sunat Isnin dan Khmais ini tidak disyaratkan bergandingan antara keduanya. 2. Berpuasa pada hari Jumaat adalah makruh melainkan jika dia berpuasa pada hari Khamis atau Sabtu sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الْجُمُعَةِ إِلَّا بِيَوْمٍ قَبْلَهُ أَوْ يَوْمٍ بَعْدَهُMaksudnya: "Rasulullah SAW melarang berpuasa pada hari Jumat, kecuali dengan berpuasa sehari sebelum atau sesudahnya. "(Riwayat Ibnu Majah) 3. Puasa yang disunatkan selain daripada puasa pada hari Isnin dan Khamis adalah a. Puasa selang sehari atau dipanggil puasa Nabi Daud AS sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Amru Bin al-As bahawa Rasulullah SAW bersabda :أَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى اللَّهِ صَلَاةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام وَأَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ وَكَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ وَيَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا Maksudnya: Solat yang paling Allah cintai adalah solat Nabi Daud AS dan puasa yang paling Allah cintai adalah puasa Nabi Daud AS. Nabi Daud AS tidur hingga pertengahan malam lalu bangun mendirikan solat pada sepertiga malam yang terakhir kemudian tidur kembali pada satu perenam malam yang terakhir. Dan Nabi Daud AS puasa sehari dan berbuka sehari". (Riwayat al-Bukhari) b. Puasa 3 hari setiap bulan Islam atau dikenali dengan puasa hari putih iaitu puasa pada 13,14 dan 15 haribulan hijrah sebagaimana Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar bahawa Rasulullah SAW bersabda : إِذَا صُمْتَ شَيْئًا مِنْ الشَّهْرِ فَصُمْ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ Maksudnya: Jika engkau ingin berpuasa beberapa hari dalam sebulan, maka berpuasalah (pada Tarikh) tiga belas, empat belas dan lima belas. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 181

message user image