Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz, saya ingin bertanya mengenai syarat melancong. Bolehkah kalau seseorang itu pergi melancong ke luar negara seperti korea atau Jepun sebelum pergi menunaikan ibadah Haji atau Umrah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, Islam menggalakkan umatnya untuk melancong (musafir). Terdapat beberapa ayat Al-Quran berkaitan melancong atau mengembara. Dengan melancong banyak manfaat dan iktibar yang dapat dipelajari, selain dapat menyaksikan tentang kebesaran Allah, ia boleh mendapat pengajaran bagaimana sesuatu tamadun dapat dicapai, serta kesan-kesan keruntuhannya akibat kemurkaan Allah. Bagaimanapun terdapat satu hadis yang memberi keutamaan tempat untuk mengembara adalah tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid al-Nabawi dan masjid al-Aqsa. Hadisnya seperti yang berikut: لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَ Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”. (Riwayat al-Bukhari) Berkunjung ke tiga masjid ini yang sangat besar fadhilatnya, selain bertujuan menunaikan rukun Islam iaitu haji dan umrah di masjid Haram di Mekah dan ziarah ke masjid Nabi di Madinah. Mekah dan Madinah adalah dua tanah haram yang banyak menyimpan sejarah di mana mulanya lahir Islam dan berkembang hingga menjadi suatu tamadun dunia. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.