BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalammualaikum WBT Tuan Mufti Saya telah berjumpa dengan seorang doktor pakar Urology mengenai kes yang boleh terjadi kepada mana-mana lelaki. Semasa membuang air kecil, didapati air mani boleh bercampur atau keluar dalam kuantiti sedikit bersama air kencing. Menurut doktor, perkara ini normal dan boleh berlaku. Air mani yang lama tidak keluar akan atau boleh keluar melalui saluran kencing. Ini kerana air kencing dan mani, akan keluar melalui satu saluran. Kuantitinya sikit dan apabila mani keluar bersama air kencing, tidak disedari langsung atau tanpa ada syahwat. Menurut doktor lagi, untuk mengesahkan itu, air mani yang mengandungi sperma yang bercampur dengan air kencing perlu dilihat melalui bantuan mikroskop. Tambahan, sperma itu mati kerana tidak dapat hidup. Doktor itu juga mengatakan air mazi juga boleh keluar bersama air kencing. Dalam hal ini, adakah jatuh hukum Wajib ke atas seseorang itu untuk melakukan mandi junub (wajib) untuk membolehkan ibadah solat & membaca Al-Quran? Menurut doktor, syarat mandi wajib ialah apabila berlaku hubungan kelamin suami isteri walaupun tanpa keluar mani, atau air mani yang keluar kerana mimpi sewaktu tidur atau air mani yang dikeluarkan dengan sengaja (onani).Apakah pandangan Tuan mengenai hukum Wajib Mandi Hadas Besar dalam situasi seperti ini.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, di dalam situasi dimana ketika membuang air kecil, didapati air mani boleh bercampur atau keluar dalam kuantiti sedikit bersama air kencing seperti yang dinyatakan oleh saudara berdasarkan dari pemakluman doktor pakar urology kepada saudara, maka tidak jatuh hukum wajib mandi hadas besar untuk membolehkan ibadah solat dan membaca al-Quran. Ini kerana hukum wajib mandi hadas besar terdapat beberapa tanda yang telah disebutkan oleh para ulama yang menunjukan bahawa ia adalah air mani dan wajib ke atas sesiapa yang ada salah satu daripada tanda-tanda ini untuk mandi wajib, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Tanda-tandanya ialah : -Ia keluar dengan rasa lazat dan kepuasan syahwat. -Ia keluar secara memancut. -Mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 154

message user image