Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum..Saya ingin bertanya tentang hukum solat bagi mereka yang memakai susuk/raksa? Adakah sah solatnya dan bagaimana cara untuk mengeluarkan susuk tersebut sekiranya pemiliknya enggan mengaku bahawa beliau masih memakai susuk raksa tersebut? Mohon bantuan...
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hukum solat bagi pemakai susuk/raksa adalah sah solatnya apabila sempurna segala rukun dan syarat-syarat sah solat. Bagaimanapun hukum memakai susuk/raksa adalah dilarang dan berdosa. Pemakaian susuk boleh mempengaruhi si pemakai dan meletakkan kebergantungannya kepada kuasa lain selain kuasa dan kebesaran Allah S.W.T. Membuang susuk yang dipakai kebiasaannya dikeluarkan oleh orang yang memakaikan susuk itu sendiri dan atas kehendak si pemakai susuk tersebut. Apabila tiada pengakuan atau pemakai susuk enggan mengaku terlibat dengan pemakaian susuk, berusahalah mendekatinya dengan cara baik dan berhemah, menasihati dan menegur tentang kemudaratan dan larangan memakai susuk. Mudah-mudahan hatinya lembut dan bertindak membuangnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.