Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum, apakah hukum menyediakan perkhidmatan katering dan berkaitan seperti khemah dan kerusi meja untuk kaum bukan Islam di rumah kediaman atau pejabat mereka sempena sambutan hari perayaan kaum/agama mereka?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, hukum asal menyediakan perkhidmatan katering dan yang berkaitan dengannya seperti khemah dan kerusi meja adalah harus selagi tidak melibatkan perkara maksiat atau upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 2;
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Justeru, menyediakan perkhidmatan katering bagi kaum bukan Islam di rumah kediaman atau pejabat mereka sempena sambutan hari perayaan agama mereka adalah diharamkan kerana termasuk dalam bantu membantu dan bersubahat dengan upacara keagamaan mereka. Setiap muslim dituntut untuk mencari rezeki yang diyakini halal dan menjauhi sumber pendapatan yang syubhah dan haram.
Sekian, terima kasih.