Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah sah pernikahan yang dilakukan di Thailand tanpa pengetahuan ayah kandung wanita tersebut (wali)? Perkahwinan yang dijalankan memang benar-benar mengikut rukun nikah iaitu 2 orang saksi, pengantin lelaki, pengantin wanita, ijab dan kabul, wali hakim. Adakah sah pernikahan tersebut menggunakan wali hakim sedangkan bapa kandung wanita tersebut masih hidup dan tempat tinggalnya melebihi 2 marhalah dari jarak tempat pernikahan tersebut? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, mana-mana pernikahan yang berlaku di luar Malaysia perlu didaftarkan semula di Malaysia. Setiap pendaftaran perlu melalui beberapa prosedur yang ditetapkan oleh pihak Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah sebelum mengesahkan pernikahan tersebut sah atau tidak. Sekiranya segala prosedur dan proses pendaftaran telah selesai, dan mahkamah mengesahkan pernikahan tersebut, serta telah didaftarkan di Pejabat Agama Islam, bermakna pernikahan tersebut adalah sah menurut syarak dan dari sudut perundangannya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan Kahwin Lari di Selatan Thailand. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat: 1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah. 2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah. 3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin di atas alasan syarak di tempat dia bermastautin. 4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakadnikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.