Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum. Saya ingin memohon pencerahan. Saya melihat ramai orang menjual hardisk. Menjual hardisk itu bukan suatu permasalahan kerana ia merupakan salah satu barang yang dibenarkan untuk menjual beli. Tetapi, ada juga yang membuat pakej. Sebagai contoh: Pakej A: Hardisk + Movie Maka, harga pun berlainan kerana disertakan movie sekali. Persoalan saya.Adakah dibenarkan untuk menjual beli movie atau game yang di download secara online di internet? Adakah sah jual beli tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, jual beli hardisk yang dijalankan oleh tuan adalah harus kerana sememangnya barang milik tuan untuk diniagakan. Namun berkaitan dengan kandungan dalamnya yang terkandung filem (movie), permainan video (game) adalah bukan milik tuan secara sah dan ini adalah terkandung sebagai harta intelek (intelectual property) yang merupakan aset tidak nyata tetapi diiktiraf dari sudut undang-undang dan juga syarak. Akademi Fiqah Islam (Majma’ al-Fiqh al-Islami) dalam persidangan kali ke-5 yang diadakan di Kuwait pada 1409H telah membincangkan berkenaan harta tidak nyata (huquq ma’nawiyyah) dan meluluskan resolusi berikut: “Hak cipta penulisan, ciptaan, dan rekaan adalah dipelihara dari sudut syarak. Pemilik-pemiliknya berhak untuk mengendalikannya (menjualnya, menyewanya dan lain-lain). Dan hak-hak tersebut tidak harus dicerobohi”. Maka ia tidak harus dicerobohi melalui aktiviti jual beli ini, melainkan tuan mendapat kebenaran dari pembuat movie dan game tersebut. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah”. (Surah al-Baqarah ayat 188)
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.