Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamu'alaikum wbt. Saya terlibat dengan tugasan online meminjamkan suara untuk modul pembelajaran mesin. Dalam tugasan tersebut saya perlu menyebut ayat-ayat yang meragukan dari aspek aqidah Islam seperti di bawah :1. We will send you to whatever god you wish. 2. Intelectuals and even christians, hail a new age as if it had really dawned universally. Saya telah membaca kedua-dua ayat tersebut secara lisan sebagai sebahagian tugasan. Apakah hukumnya bagi saya sedangkan saya sama sekali tidak akan pernah redha dengan agama selain Islam. Mohon pencerahan tuan. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, sesuatu ucapan yang diungkapkan merujuk kepada pegangan agama lain tanpa ada keperluan sebaiknya dielakkan. Jika ada keperluan atau terpaksa, hukumnya adalah harus selagi mana tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama lain serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut. Sekiranya tidak ada keperluan, maka hukumnya adalah makruh dan boleh membawa kepada haram kerana ia atas pilihan sendiri dan ada qasad. Ucapan tersebut juga boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam. Sehubungan itu, bertaubatlah dengan taubat secara bersungguh-sungguh iaitu tidak akan mengulangi perkara tersebut dan memperbanyakkan istighfar memohon keampunan daripada Allah SWT. Pada masa hadapan, sekiranya terlibat mohon pengecualian daripada majikan dengan cara yang berhikmah. Semoga dengan pendirian ini, kehidupan kita akan diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.