Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum.. sy nk tny jika saya jual id or acc game apa hukumnya ye.. kalau jual servis pulak apa hukum nya.. servis ni sy tlg naikkn level game org mntk servis yg sy bg.. terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, hukum menjual ID atau akaun game adalah harus dan halal dengan syarat memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat jual beli yang dijelaskan oleh syarak. Namun hukumnya menjadi haram sekiranya jual beli tersebut mengandungi unsur gharar (tidak diketahui jenis, kadar, sifat dan harganya oleh penjual dan pembeli), penipuan (akaun palsu), melanggar rukun dan syarat jual beli yang ditetapkan oleh syarak. Manakala menjual servis atau menyediakan perkhidmatan menaikkan level game adalah termasuk dalam kontrak sewa iaitu melibatkan bayaran upah ke atas khidmat yang diberikan. Maka hukumnya adalah harus dengan syarat cukup rukun bagi kontrak sewa iaitu dua pihak yang terlibat, lafaz yang menunjukkan sewa atau ingin memberi upah, nilai upah mestilah dimaklumi samada nilai wang atau barangan yang dipersetujui bersama dan perkhidmatan iaitu upah yang diberikan adalah ke atas perkhidmatan yang diberikan. Nabi SAW bersabda; أعطوا الأجيرَ أجرَهُ قبل أن يجِفَّ عرقُهُ Maksudnya: “Berikanlah kepada pekerja (yang kamu upah tersebut) akan upah sebelum kering peluhnya (jangan bertangguh atau melewat-lewatkan).”(Riwayat ibnu Majah) Dinasihatkan agar dapat memastikan game tersebut tidak mengandungi unsur syirik yang bercanggah dengan syariat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.