Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz. Saya ada hutang lampau berkaitan pembelian tanah. Saya sudah lama mencari orang berkenaan utk bayar hutang tersebut malangnya tiada siapa yg tahu walaupun saudara mara beliau sendiri. Baru2 ini saya ada berkemas rumah maka saya terjumpa surat lama Dr tuan tanah asal ini. Pada surat tersebut ada tertulis no akaun bank beliau. Saya bersyukur sgt dan terus check no akaun tersebut melalui on line Saya dapati akaun tersebut masih aktif. Saya pun terus transfer jumlah hutang saya itu sebanyak rm2000. Malangnya, semalam saya dapat berita bahawa pemilik akuan tersebut telah pun meninggal dunia pada awal Nov baru2 ini. Satu2nya waris beliau juga tidak dapat dikesan. Saya ingin bertanya ustaz, adakah saya masih dikira berhutang. Kalau benar, apa yang perlu saya lakukan sekarang. Terima kasih ustaz
Jawapan
Merujuk persoalan saudari, setiap orang yang berhutang masih lagi dianggap sebagai berhutang sehinggalah hutang tersebut ditunaikan. Jika pemiutang itu telah meninggal dunia maka hutang tersebut perlu ditunaikan kepada waris yang berhak. Namun dalam keadaan pemiutang atau warisnya sukar dikesan setelah pelbagai usaha dilakukan, saudara boleh menyalurkan wang tersebut kepada baitulmal Majlis Agama Islam Selangor sebagai pemegang amanah dan wang tersebut boleh dikeluarkan untuk diserahkan kepada pemiutang setelah dapat dikesan dan dikenalpasti warisnya. Dalam situasi saudari, cuba berhubung dengan bank semula untuk dapatkan maklumat berkaitan pemilik akaun, jika pihak bank telah mengesahkan pemilik tersebut telah meninggal dunia, mohon kepada pihak bank untuk mengeluarkan semula duit tersebut dan diserahkan kepada warisnya atau ke baitulmal. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.