Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum Tuan/Puan yang dihormati, Saya ada pertanyaan tentang isu perancangan keluarga. Terlebih dahulu, ingin memohon maaf jika kekeliruan/pertanyaan saya ini terlalu straightforward, namun saya perlukan pendapat daripada orang yang lebih arif agama. Saya ada ambil suntikan depo atas tujuan merancang keluarga. Disebabkan suntikan depo ini, kini haid saya tidak teratur disebabkan hormon yang tidak stabil, haid saya sudah lebih dari sebulan , dah nak hampir 2 bulan. Pertanyaan saya adalah: 1. Adakah saya dikira suci, dan bagaimana pula dengan ibadah saya. Walaupun dalam haid, adakah saya perlu solat dan dibenarkan untuk menyentuh/membaca ayat2 suci al quran. 2. Bagaimana pula dengan hubungan bersama suami saya, adakah hubungan bersama suami dibenarkan walaupun saya dalam tempoh haid ini. Harap mohon pencerahan dari Tuan/Puan atas isu ini. Terima kasih banyak2 atas keluangan masa dan ilmu yang dikongsi
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Darah tersebut bukanlah darah haid tetapi ia adalah darah istihadah. Hal ini kerana darah tersebut melebihi tempoh maksimum haid iaitu 15 hari. Maka, puan boleh mengerjakan ibadah solat seperti biasa begitu juga dengan membaca atau menyentuh Al-Quran. 2. Jumhur Ulama’ berpendapat, boleh berhubungan dengan suami dalam keadaan istihadah. Hal ini kerana darah istihadah bukan darah haid. Sebagaimana sabda nabi SAW; إِنّما ذلك عرق بالحيضة Maksudnya: “Darah istihadah itu (suci), bukan seperti darah haid.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Maka, puan boleh berhubungan dengan suami kerana situasinya adalah sama seperti wanita yang suci. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.