Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: 1. Mengapa pencen penjawat awam yang meninggal tidak perlu difaraid kpd waris2? 2. Apa perbezaan duit epf dan pencen selepas kematian ?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, terdapat perbezaan di antara pencen dan duit Employees Provident Fund EPF atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja KWSP. Pencen adalah bayaran tetap bulanan yang dibuat oleh kerajaan atau majikan kepada bekas pekerjanya yang telah bersara. Bayaran yang telah diterima oleh pesara ketika hidup adalah menjadi hak miliknya dan jika masih berbaki selepas kematiannya maka duit tersebut perlu difaraidkan seperti harta miliknya yang lain. Bayaran pencen akan diteruskan (Pencen Terbitan) setelah kematian pesara dan diberikan kepada balu, duda dan anak yang di bawah umur 21 tahun dan masih belum berkahwin. Pencen Terbitan bukan hak milik si mati dan tidak perlu difaraidkan kerana ia merupakan inisiatif pihak kerajaan demi menjaga kebajikan waris kepada pesara tersebut. Adapun duit EPF adalah hak milik pekerja yang belum sempurna sebelum tiba tempoh matangnya dan tidak boleh dimanfaatkan oleh pekerja pada ketika itu. Apabila tiba tempoh matang barulah ia mejadi hak milik sempurna dan boleh dikeluarkan serta dimanfaatkan oleh pekerja. Duit EPF perlu difaraidkan setelah kematian pekerja kerana ia adalah wang terkumpul pekerja dan dimiliki olehnya sejak memulakan pekerjaan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih