Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam boleh kah saya tahu hukum melunturkan warna rambut(bleaching) dengan niat untuk berhias bukan untuk tunjuk kepada orang lain. Saya masih menutup aurat saya harap persoalan saya dapat dijawap. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, bleach adalah bukan pewarna tetapi bahan yang boleh melunturkan warna rambut yang asal. Ianya berfungsi untuk memudarkan rambut selain memberi implikasi kerosakan rambut juga sakit kulit. Maka, hukum bleach rambut adalah dilarang. Hal ini kerana ia boleh mendatangkan mudharat pada rambut. Umat Islam juga turut digalakkan menjaga rambut dengan cara yang dibenarkan syarak. Penggunaan set penjagaan rambut mestilah daripada bahan yang halal dan tidak mendatangkan kemudaratan serta kerosakan pada rambut. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki rambut maka hendaklah dia memuliakannya.”(Riwayat Abu Daud) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.