Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya pesakit dialysis, persoalan haji. Lebih baik saya buat badal haji atau umrah? Ini kan rukun Islam. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk persoalan tuan, pesakit buah pinggang yang memerlukan bantuan hemodialysis adalah tergolong dalam kalangan orang yang tidak berkemampuan (istito’ah) kewajipan tidak gugur jika mampu dari segi kewangan, tidak wajib baginya melakukannya sendiri (binafsih) maka bolehlah menunaikan hajinya secara upah (badal). Bagaimanapun, jika pada masa hadapan penyakitnya sembuh dan berkemampuan, maka ia wajib mengulangi hajinya bagi menyempurnakan tuntutan kewajipannya. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-84 bertarikh 15 Disember 2008 adalah seperti berikut: 1. Pesakit yang menghidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadah haji; 2. Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji sekiranya berkemampuan daripada sudut kewangan; dan 3. Sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadah haji jika berkemampuan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.