Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya hendak bertanya, sejauh manakah tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak mereka yang sudah akil baligh dan berumur 20 tahun tetapi masih bujang, adakah masih lagi menjadi tanggungjawab ibu bapa yang telah tua jika anak tersebut belum mendirikan rumah tangga?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tugas dan tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak adalah sepanjang masa. Ia tidak terhad sehingga anak akil baligh atau berusia 20 tahun. Anak-anak yang telah bekerja dan dewasa malah telah berkeluarga serta berkahwin, ibu bapa masih mempunyai tanggungjawab untuk mendidik, menegur dan menasihati mereka dalam banyak urusan kehidupan. Apabila sudah baligh, maka dosa dan pahala ditanggung sendiri. Bagaimanapun, apabila mereka telah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri serta mampu berdikari sendiri, tidak lagi menjadi tanggungjawab ibu bapa bagi menanggung keperluan serta perbelanjaan harian mereka. Adalah tidak wajar seorang anak masih mengharapkan tanggungan daripada kedua orang tuanya sedangkan mereka sudah berkemampuan untuk menyara kehidupan diri sendiri. Bagi anak bujang berusia 20 tahun sekiranya masih lagi belum menamatkan pengajian dan belum bekerja, masih lagi dikategorikan di bawah tanggungan ibu bapa. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.