Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum SS Mufti dan para panel sekalian.
Saya bekerja sendiri dan berniaga di rumah. Boleh dikatakan 80% masa saya adalah di rumah bekerja dan berniaga secara atas talian sambil menguruskan rumah dan anak. 20% lagi biasanya saya keluar untuk bertemu client.
Isteri saya pula bertugas sebagai seorang guru KPM di sekolah menengah kerajaan.
Alhamdulillah walaupon bekerja sendiri dan berniaga di rumah saya masih mampu untuk menanggung nafkah keluarga. Tapi kadang-kadang ada juga la isteri saya bantu kewangan sikit-sikit.
Persoalan saya:
Apa hukum dan pandangan Islam khususnya dari sudut undang-undang keluarga Islam berkenaan isteri saya keluar bekerja sebagai pendidik sedangkan saya hanya bekerja di rumah sambil menguruskan rumah dan anak?
Adakah perbuatan kami bersalahan dengan fitrah keluarga Islam?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, secara asasnya, dalam kehidupan berumah tangga memang diperjelaskan tentang tanggungjawab suami dan tanggungjawab isteri. Menyara (nafkah) isteri dan keluarga adalah tanggungjawab suami mengikut kadar kemampuannya. Sementara isteri wajib taat kepada suami, seorang isteri tidak boleh keluar rumah termasuk bekerja tanpa keizinan suami. Bagaimana pun dalam usaha membangunkan keluarga termasuk pendidikan anak-anak, isteri dengan izin suami boleh keluar bekerja bagi tujuan membantu suami memenuhi keperluan bersama. Demkianlah yang sepatutnya sebagai memenuhi tuntutan perkongsian hidup berkeluarga. Dalam hal ini tuan masih lagi memuanaikan tanggungjawab dalam pemberian nafkah untuk keluarga walaupun tuan hanya bekerja dari rumah. Tidaklah menjadi kesalahan apabila ada perbincangan dan kesepakatan bersama antara tuan dan isteri dalam menguruskan hal ehwal keluarga termasuk urusan kewangan dan perbelanjaan harian. Penentuan tanggungjawab suami dan isteri adalah penting untuk dijadikan panduan apabila timbul pertikaian, kerana kehidupan berumah tangga adalah perkongsian senang dan susah, sentiasa belajar dan memperbaikinya. Elemen kasih sayang, hormat menghormati, berkerjasama, memberi dan menerima, saling berbincang dan bertolak ansur amat penting demi mencapai kehidupan berkeluarga yang harmoni. Mudah-mudahan tuan dan isteri beroleh keberkatan dalam hidup berkeluarga.
والله أعلم بالصواب