Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya wanita berusia 32 tahun dan belum berkahwin tetapi rambut saya sudah mula beruban. Bolehkah saya mewarnakan rambut kerana saya pernah terdengar bahawa wanita bujang haram mewarnakan rambut? Harap dapat memberi penjelasan.
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tersebut, mewarnakan rambut yang beruban hukumnya adalah harus, sama ada wanita yang berkahwin atau bujang. Dengan syarat rambutnya diwarnakan dengan warna selain warna hitam, bahan pewarna yang digunakan adalah halal, bukan najis, tidak menghalang air wuduk / mandi wajib dan rambut bukan untuk ditunjuk kepada orang yang bukan mahram.
Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA, katanya yang bermaksud :
"Di hari penaklukan Mekah dibawa orang ke hadapan Rasulullah SAW Abu Quhafah, dengan rambut dan janggutnya memutih seperti garam. Maka bersabda Rasulullah SAW, "Celuplah (rambut dan janggutmu) selain dengan warna hitam".(Riwayat Muslim)
والله اعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.